INOVASI KDN 2026: DARI IDEA KEPADA IMPAK, AI MEMACU REFORMASI PERKHIDMATAN
17 OGOS 2026 | Dewan SP10, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh budaya inovasi sebagai pemacu reformasi perkhidmatan awam menerusi Pertandingan Hari Inovasi KDN 2026 yang berlangsung hari ini di Dewan SP10, KDN. Pertandingan ini menjadi medan mengetengahkan penyelesaian kreatif, pendigitalan serta penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita mahu AI diterjemahkan dalam bentuk sistem pintar yang mempercepat proses keselamatan, memperkukuh kawalan sempadan dan meningkatkan kepantasan perkhidmatan kepada rakyat,” ujar YBrs. Encik Ahmad Nizam bin Norali, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KDN.
Sebanyak 17 kumpulan tampil menyertai pertandingan pada tahun ini, melibatkan Unit Komunikasi Korporat (UKOM) serta kumpulan daripada jabatan dan agensi KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Penjara Malaysia.
Agenda inovasi KDN turut diperkukuh melalui pembangunan kepimpinan inovasi berteraskan teknologi. Seramai 28 pegawai yang mewakili 25 Bahagian KDN serta 11 jabatan dan agensi telah mengikuti latihan AI For Leaders sebagai persediaan membina ekosistem kerja pintar berasaskan kecerdasan buatan, automasi dan teknologi digital.
Selaras dengan pendekatan “AI FOR KDN, KDN FOR AI”, inovasi yang dibangunkan bukan sekadar untuk pertandingan, sebaliknya perlu memberikan outcome yang nyata, nilai untuk wang, pendigitalan proses, kemampanan projek serta penggunaan AI yang bertanggungjawab.
KDN turut menggalakkan pendekatan frugal innovation atau inovasi berjimat yang mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menghasilkan penyampaian berimpak tinggi, berkualiti dan berintegriti. Budaya bekerja secara silo juga perlu digantikan dengan sinergi rentas bahagian, jabatan dan agensi, manakala projek inovasi yang dibangunkan perlu terus dimanfaatkan, ditambah baik dan memberi impak jangka panjang kepada organisasi serta rakyat.
Hadir sama, YBrs. Puan Norazlin binti Alias, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia; YBrs. Puan Norkhanizan binti Manaf Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat, wakil-wakil Bahagian, wakil-wakil jabatan, agensi dan bahagian serta para peserta pertandingan.
Turut hadir barisan panel juri Pertandingan Inovasi KDN 2026 iaitu Encik Ali bin Isa, Ketua Panel daripada Kementerian Kerja Raya (KKR); Encik Rosdi bin Osman daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); dan Encik Muhammad Shawwal bin Mohamad Raqi daripada Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
Inovasi bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, tetapi memperbaharui cara kita bekerja demi perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan berkesan.
Sumber: Ucapan Perasmian Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KDN sempena Pertandingan Hari Inovasi KDN 2026 | 17 Ogos 2026 | Dewan SP10, KDN
#KementerianDalamNegeri #KDN2026 #HariInovasiKDN2026 #AIFORKDN #KDNFORAI #InovasiKDN #ReformasiPerkhidmatanAwam #Pendigitalan #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja