AI PERKUKUH KEUPAYAAN SIASATAN DAN KESELAMATAN NEGARA
Kuala Lumpur, 17 Ogos 2026 – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah hari ini merasmikan Seminar Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Siasatan Jenayah Moden dan Keselamatan Negara yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Ogos 2026, seminar berkenaan disertai seramai 389 peserta yang terdiri daripada pegawai polis berlainan pangkat dari seluruh kontinjen PDRM.
Turut hadir Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Puan Ainah Mohd Soon, Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Penasihat Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid serta Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dr. Che Ghazali bin Che Awang.
Mengangkat tema “Transformasi Kecerdasan Digital Dalam Mempertingkat Kecekapan dan Keberkesanan Siasatan Era MADANI”, seminar berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam meneroka potensi teknologi AI bagi mempertingkat keupayaan penyiasatan serta mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
Perkembangan AI membuka dimensi baharu dalam landskap keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menghadapi jenayah yang semakin kompleks serta dipacu perkembangan teknologi. Sehubungan itu, pemanfaatan AI perlu dilaksanakan secara strategik dan bertanggungjawab dengan berteraskan prinsip etika, integriti, pematuhan undang-undang serta tadbir urus yang baik.
Majlis turut menyaksikan gimik perasmian yang mengetengahkan teknologi robotik menerusi simulasi operasi menangkap suspek melibatkan Robot Dog dan AGIBOT X2 di samping memperlihatkan keupayaan teknologi robotik untuk bergerak dan berinteraksi secara responsif.
Robot Dog yang dipamerkan merupakan teknologi daripada Aonic Sdn. Bhd., manakala AGIBOT X2 daripada Mr Robot Sdn. Bhd. Demonstrasi tersebut memberi gambaran mengenai perkembangan teknologi robotik dan AI serta potensi aplikasinya dalam bidang penguatkuasaan, keselamatan dan operasi pada masa hadapan.
Dalam program yang dianjurkan turut diadakan pameran daripada beberapa pihak industri dan kumpulan inovasi Maktab PDRM yang mengetengahkan pelbagai aplikasi, inovasi dan penyelesaian teknologi berkaitan kecerdasan buatan, penyiasatan serta keselamatan.
Seminar yang diadakan diharap dapat memperkukuh pemahaman dan keupayaan warga PDRM dalam memanfaatkan teknologi AI secara beretika, selamat dan berkesan, selaras dengan keperluan menghadapi landskap jenayah serta cabaran keselamatan masa kini.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Azri Sabri.
https://www.facebook.com/share/p/19UtD3B51S/