𝐏𝐄𝐑𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐔𝐃𝐀?
Pembentukan generasi muda tidak bermula ketika mereka remaja, tetapi sejak mereka masih kecil.
Hati yang masih bersih itu perlu diasuh dengan iman, dibentuk dengan akhlak, dan disinari dengan tauhid agar mereka membesar sebagai generasi yang tahu untuk apa mereka hidup.
Para ulama menyebut:
“Awaluddin Ma‘rifatullah”
Awal beragama ialah mengenal Allah.
Mengenal bahawa hidup ini dari Allah, kerana Allah, dan akan kembali kepada Allah.
Inilah asas tarbiah anak-anak pada zaman para sahabat.
Mereka tidak dibesarkan dengan hiburan dan kelalaian,
tetapi dengan tauhid yang jazam
dan kecintaan yang mendalam kepada Baginda Rasulullah ﷺ.
Hasilnya?
Lahirlah anak-anak muda yang mengubah peradaban, bukan sekadar mengikut arus zaman.
Antara 10 Anak Muda yang Mengubah Peradaban Islam
1️⃣ Al-Arqam bin Abi al-Arqam – 16 tahun
Antara yang terawal memeluk Islam. Rumahnya dijadikan pusat dakwah rahsia Nabi ﷺ sebagai tapak awal pembinaan generasi Islam.
2️⃣ Ali bin Abi Talib – 13 tahun
Memeluk Islam sejak kanak-kanak. Pada malam hijrah, beliau tidur di tempat Nabi ﷺ, mempertaruhkan nyawa ketika masih remaja.
3️⃣ Al-Zubair bin al-Awwam – 15 tahun
Orang pertama menghunus pedang demi mempertahankan Rasulullah ﷺ. Keberaniannya menjadi legenda sepanjang sejarah Islam.
4️⃣ Mu‘az bin ‘Amr bin al-Jamuh – 13 tahun
Turut serta dalam Perang Badar dan berperanan besar dalam mencederakan Abu Jahal, musuh utama Islam.
5️⃣ Mu‘awwidh bin ‘Afra’ – 14 tahun
Bertempur bersama saudaranya di Badar dengan keberanian luar biasa, turut terlibat dalam menjatuhkan Abu Jahal.
6️⃣ Zaid bin Thabit – 13 tahun
Menghafaz al-Quran sejak kecil, menguasai bahasa Ibrani dan Suryani dalam masa singkat, lalu menjadi penulis wahyu Nabi ﷺ.
7️⃣ Muhammad bin al-Qasim – 17 tahun
Memimpin tentera Islam menakluk Sindh dan wilayah India, menewaskan pasukan besar pada usia yang sangat muda.
8️⃣ Usamah bin Zaid – 18 tahun
Dilantik Nabi ﷺ memimpin pasukan yang dianggotai sahabat-sahabat senior untuk menghadapi Rom, ujian kepimpinan dan kepercayaan.
9️⃣ Abdullah bin ‘Abbas – 13 tahun
Sentiasa mendampingi Nabi ﷺ. Doa Baginda menjadikannya ulama besar, digelar Habr al-Ummah dan Turjuman al-Quran.
🔟 Muhammad al-Fatih – 21 tahun
Dididik sejak kecil dengan iman dan disiplin. Persiapan bermula seawal usia 14 tahun, hingga menawan Konstantinopel pada usia 21 bagi menunaikan khabar gembira Rasulullah ﷺ.
Contoh-contoh ini membuktikan satu hakikat besar bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta sejarah.
Yang membezakan hanyalah tarbiah, tauhid, dan tujuan hidup.
Jika anak-anak dibesarkan dengan iman yang hidup,
mereka tidak akan hanyut dengan zaman,
bahkan menjadi penentu arah zaman.
اللهم ارزق شبابنا الإيمان والعمل الصالح
“Ya Allah, kurniakanlah kepada para pemuda kami iman dan amal soleh.”
--------------------------
#SelawatmembawaRahmat
#muafakatmembawaberkat
#sayapeduli


