Dalam Hasyiah al-‘Allamah al-Tarmasi (الترمسي) رحمه الله, terdapat nukilan dari kitab al-Khairat al-Hisan karya al-‘Allamah Ibn Hajar رحمه الله yang menyebut:
“Sebahagian ulama yang mensyarahkan Minhaj al-Nawawi menyebut bahawa al-Imam al-Syafi‘i رحمه الله pernah menunaikan solat Subuh di Masjid al-A‘zamiyyah, yang terletak berhampiran dengan makam al-Imam Abu Hanifah رحمه الله. Beliau tidak membaca qunut.
Lalu beliau ditanya: ‘Mengapa?’
Beliau menjawab: تأدبا مع صاحب هذا القبر ‘Sebagai adab terhadap penghuni makam ini.’”
Perkara tersebut turut disebut oleh ulama lain. Bahkan ditambahkan bahawa al-Imam al-Syafi‘i رحمه الله tidak membaca basmalah secara jahr.
Dari kisah ini dapat difahami bahawa: kadangkala sesuatu perkara yang merupakan sunnah menurut pandangan seorang mujtahid boleh ditinggalkan apabila terdapat perkara lain yang pada ketika itu dianggap lebih utama untuk dilakukan.
Maka, tujuan al-Imam al-Syafi‘i رحمه الله meninggalkan perkara yang beliau sendiri berpandangan sebagai sunnah adalah untuk menzahirkan ketinggian kedudukan para ulama, khususnya seorang ulama yang mempunyai ramai orang yang mencelanya semasa hidup dan selepas kewafatannya, seperti al-Imam Abu Hanifah رحمه الله.
Ini menunjukkan penghormatan terhadap ulama merupakan suatu perkara yang dituntut dan sangat ditekankan. Selain itu, manfaatnya bersifat lebih luas dan melangkaui individu.
Oleh itu, untuk mencapai tujuan tersebut, sesuatu sunnah yang diperselisihkan oleh para ulama dan manfaatnya bersifat terbatas boleh ditinggalkan.