KENYATAAN MEDIA
ABIM KUTUK GENOSID DI DARFUR DAN DESAK TINDAKAN SEGERA HENTIKAN KEGANASAN RSF DI SUDAN
31 Oktober 2025 | 09 Jamadilawal 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap perkembangan kemanusiaan yang amat meruncing di Sudan ketika ini, khususnya di Al-Fashir, ibu kota Darfur Utara yang kini dilaporkan menjadi lokasi siri pembunuhan beramai-ramai oleh Rapid Support Forces (RSF) dan kumpulan sekutunya.
Ketiadaan wartawan antarabangsa yang dibenarkan memasuki kawasan konflik telah memaksa para penyelidik bergantung kepada imej satelit bagi mengesahkan bukti mengerikan yang berlaku di darat termasuk tompokan besar darah yang dapat dilihat dari udara, kebakaran penempatan awam, serta pengepungan kawasan penduduk yang sedang berusaha melarikan diri daripada serangan.
Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dan Human Rights Watch, lebih 15,000 orang awam telah terbunuh di Darfur sejak konflik kembali memuncak pada 2023 hingga kini, manakala lebih 10 juta warga Sudan telah menjadi pelarian sama ada dalam negara atau ke sempadan luar menjadikan situasi ini antara krisis pemindahan paksa terbesar dan paling buruk di dunia pada masa ini.
Jenayah yang sedang berlaku jelas memenuhi definisi genosid berdasarkan Konvensyen Genosid 1948 khususnya terhadap komuniti Masalit dan kelompok Afrika Darfur yang disasarkan atas identiti kaum mereka.
ABIM menuntut campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, Kesatuan Afrika AU dan Pertubuhan Kerjasama Islam OIC bagi menghentikan operasi RSF serta melindungi keselamatan orang awam di Al-Fashir dan seluruh Darfur.
Komuniti antarabangsa perlu melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap mana-mana negara, entiti atau individu yang dikenal pasti menyalurkan dana, senjata dan sokongan ketenteraan kepada RSF.
ABIM juga menuntut agar akses kemanusiaan tanpa sekatan diberikan kepada agensi berkaitan untuk memasuki kawasan yang berisiko menghadapi kebuluran besar-besaran, serta siasatan bebas antarabangsa di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa ICC bagi memastikan semua pelaku jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid dibawa ke muka pengadilan.
Malaysia melalui Wisma Putra juga perlu memainkan peranan aktif menyokong resolusi kecemasan di PBB serta membawa isu ini ke pentas ASEAN dan dunia Islam sebagai sebahagian komitmen Malaysia MADANI dalam membela mangsa penindasan global.
ABIM menegaskan bahawa Kerajaan Sudan mempunyai tanggungjawab undang-undang antarabangsa untuk menghentikan serangan kejam terhadap rakyatnya. Mana-mana pihak yang melakukan pembunuhan berdasarkan identiti kaum tidak boleh dibiarkan berterusan dan tidak boleh dinormalisasi sama sekali dalam hubungan antarabangsa.
Sehubungan itu, ABIM menerusi agensi kemanusiaannya Global Peace Mission GPM Malaysia telah melancarkan kempen bantuan untuk Sudan melalui platform pedulisudan.com bagi menyokong usaha menyelamat, rawatan dan pemulihan mangsa yang terperangkap dalam krisis yang berpanjangan ini.
Kegagalan dunia dalam menangani genosid di Rwanda dan Srebrenica serta penyeksaan berpanjangan yang sedang berlaku di Gaza tidak boleh dibiarkan berulang di Darfur. Dunia sudah diberikan amaran melalui bukti yang jelas serta penderitaan yang tidak lagi dapat dinafikan.
Genosid tidak akan berhenti dengan senyap. Dunia tidak boleh menjadi saksi pasif. Darfur berhak hidup dan kita wajib bertindak.
"Menegakkan Kebenaran dan Keadilan"
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM