[Salah Faham Mengenai Waktu Mustajab Doa Hari Arafah]
Agak lama tidak mencoret di ruangan ini. Namun saya terpanggil untuk menulis sedikit tentang salah faham berkaitan waktu mustajab doa pada hari Arafah.
Sebenarnya isu ini bukanlah perkara baharu, bahkan hampir berulang setiap tahun menjelang Hari Arafah. Sejak dua tiga hari ini pula, banyak tersebar di media sosial poster-poster yang menyatakan bahawa waktu mustajab doa Hari Arafah bagi rakyat Malaysia adalah sekitar 5.18 petang hingga 11.55 malam.
Tambahan pula sekarang sangat mudah menghasilkan poster melalui aplikasi AI, lalu banyak juga kandungan yang tersebar tanpa semakan yang tepat.
Perkara ini sebenarnya pernah disentuh oleh sahabat saya, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, sejak beberapa tahun lalu bahawa kenyataan tersebut tidak tepat. Sahabat saya Ustaz Fakhri juga ada menulis tentang perkara yang sama di Thread beliau semalam. Sahabat saya Ustaz Muzuza Muhammad Zulhusni Zaki juga ada mengingatkan perkara yang sama sebelum ini.
Saya sertakan sekali video daripada Ustaz Azlan Shah NK dalam Slot Assalamualaikum TV Al-Hijrah pagi tadi yang telah merangkumkan isu ini dengan sangat baik dan jelas. Sangat digalakkan untuk dengar penjelasan penuh beliau.
Ringkasnya, ibadah kita berkait dengan waktu di tempat kita berada. Kita solat, berpuasa, berbuka dan sebagainya mengikut waktu tempatan, bukan mengikut waktu Mekah.
Begitu juga dalam soal doa pada Hari Arafah. Tidak ada dalil khusus yang menetapkan bahawa kita hanya perlu menunggu waktu tertentu berdasarkan waktu wukuf di Mekah untuk berdoa.
Bahkan Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”
Riwayat al-Tirmizi (3509)
Hadis ini datang dalam bentuk umum, tanpa menghadkan waktu tertentu. Maka berdoalah sepanjang hari Arafah.
Tulisan ini bukanlah untuk mengatakan bahawa waktu petang itu tidak baik untuk berdoa atau melarang orang mengambil kesempatan berdoa ketika itu. Cuma yang ingin diperbetulkan ialah apabila waktu mustajab itu dihadkan kepada tempoh tertentu sahaja sehingga seolah-olah menyempitkan keluasan yang disebut oleh hadis Nabi SAW.
Seperti yang disebut oleh Ustaz Syaari Ab Rahman di ruangan komen slot Assalamualaikum tersebut: “Hargailah matahari Malaysia.” 😄
Jika diikutkan waktu tempatan kita, Hari Arafah sudah bermula sejak Maghrib semalam dan akan berakhir pada Maghrib hari ini.
Justeru, rugi jika kita menunggu waktu petang baru hendak berdoa. Jom mulakan berdoa sejak pagi ini, basahkan lidah dengan zikir dan munajat, kemudian tingkatkan lagi kesungguhan menjelang petang sebelum berakhirnya hari yang mulia ini.
Semoga Allah menerima doa-doa kita semua.
Usaid Subki