Kristian Luaran Tapi Islam Dalaman: Kisah Fatwa Mufti Oran Kepada Muslim Tertindas di Granada
***
Bayangkan kita selaku Muslim berada persimpangan jalan, antara meninggalkan agama atau terus kekal sebagai Muslim tapi dengan hukuman seksaan yang dahsyat termasuk dibunuh.
Inilah antara dilema yang dihadapi umat Islam di Andalus satu masa dahulu. Kemuncaknya adalah kejatuhan Granada, wilayah terakhir pemerintahan Muslim di Semenanjung Iberia pada tahun 1492 yang menamatkan riwayat hampir 800 tahun tamadun Islam di sana.
Asalnya keterbukaan agama tetap diberikan sebagaimana perjanjian sebelum kota Granada diserahkan oleh raja terakhirnya. Namun tidak lama kemudian, gereja-gereja mula bertindak agresif memaksa masyarakat Muslim hingga menimbulkan kekecohan. Penindasan keagamaan berlangsung makin teruk setelah dasar pengKatalolikan paksa bermula pada tahun 1502.
Tidak hanya dipaksa murtad menyertai agama Kristian Katolik, masyarakat Muslim di Andalus juga diwajibkan untuk membuktikan mereka sudah meninggalkan agama Islam yang dianuti mereka secara sukarela generasi demi generasi.
Justeru, orang dewasa dan anak-anak dipaksa pergi ke gereja, bahasa Arab diharamkan, kena makan khinzir, dilarang melakukan sebarang amal ibadat orang Islam, dan sebagainya. Penganut Yahudi dan Kristian Protestan juga berhadapan cabaran yang sama.
Jika tidak, mereka akan dikenakan tindakan inquisisi yang terkenal sebagai antara lambang penindasan keagamaan yang kejam dalam sejarah manusia. Cukup dengan tuduhan walau tanpa bukti, hukuman boleh dijatuhkan. Mata-mata pemerintahan Kristian berada di mana-mana. Banyak kajian berkenaan dasar inqusisi itu telah dibuat yang membuktikan kengeriannya.
Bagaimana menyelamatkan keyakinan beragama dari penindasan keagamaan ini? Ada yang melarikan diri ke gunung-gunung, ada sebahagian Muslim yang berhijrah meninggalkan Granada dan wilayah-wilayah lain di Andalus lalu menuju ke wilayah Islam yang berdekatan.
Namun, ramai yang tidak mampu berhijrah dan terpaksa meneruskan hidup sebagai penganut Kristian. Luaran Kristian tapi dalaman Islam, secara diam-diam mereka berusaha keras memelihara Islam dalam diri.
Sumber-sumber sejarah membuktikan bahawa sejak akhir abad ke-15 lagi ada masyarakat Muslim Andalus yang berpura-pura masuk Kristian kerana tekanan daripada pihak gereja terhadap mereka.
Tetapi keresahan tentunya menemani tradisi beragama yang berbeza zahir dan batin sebegini. "Masih Islamkah kita?" Keresahan ini membawa mereka mengirim soalan kepada beberapa ulama di luar Andalus.
Antaranya ialah ulama dan mufti dari wilayah Oran (Wahran) di Algeria bernama Abu ‘Abdillah Ahmad Ibn Abi Jum’ah al-Maghrawi al-Wahrani yang meninggal sekitar 1524-1534 Masihi.
Berbeza dengan ulama lain, antaranya faqih hebat bernama al-Wansharisi, yang menegaskan kewajipan untuk berhijrah demi mempraktik agama di suasana aman, Ibn Abi Jum’ah pula mengeluarkan fatwa yang lebih ringan dan mungkin juga praktikal untuk masyarakat Muslim tertindas pada waktu itu. Bahasanya juga penuh dengan pujuk rayu umpama pesanan bapa penyayang yang cukup memahami cabaran luar biasa dihadapi anaknya.
Fatwa Ibn Abi Jum’ah itu tersebar meluas -secara tersembunyi- termasuk diterjemahkan ke bahasa masyarakat Andalus ketika itu, bahasa Romance dalam aksara Arab atau dikenali sebagai tulisan ajamiado.
Apa kandungan fatwa itu? Antaranya ialah menasihati mereka supaya bersabar atas ujian maha besar ini serta berpegang teguh dengan akidah dan ajaran Islam sambil turut mengajarnya kepada anak-anak mereka.
Dalam berhadapan dengan penindasan keagamaan, mereka dipesan agar menghadapinya dengan berpura-pura sebagai Kristian Katolik. Upacara keagamaan Katolik yang dipaksakan pula lakukan saja sebagaimana diarahkan, tapi pastikan sebagai ‘orang terpaksa’ sambil hati tenteram dengan keimanan. Kalau disuruh sujud kepada selain Allah, niatkan sujud itu kepada Allah.
Solat boleh ditunaikan secara isyarat, atau tangguhkan semuanya ke lewat malam ketika sudah tiada tentera dan mata-mata kekuasaan Kristian Katolik yang memandang.