PENDIDIKAN PERTAMA WAJIB BERMULA DARI RUMAH
Sesetengah ibu bapa menganggap bahawa SEMUA tugas-tugas mendidik, mengawasi dan mengajar anak terletak bawah tanggungang guru dan sekolah. Bagi mereka, tugas ibu bapa hanyalah mencari wang ringgit untuk keperluan seharian keluarga dan memanjakan anak-anak .
Sebagai seorang bapa , seorang yang bekerja dan sebagai seorang guru sekolah rendah, saya TIDAK BERSETUJU dengan pendapat tersebut. Ibu bapa juga berperanan membentuk anak-anak di rumah. Contoh mudah.
1) Anak-anak wajib diajar berkenaan asas agama seperti solat dan mengaji Qur'an di rumah lagi. Ramai ibu bapa yang menyerahkan urusan mendidik agama ini kepada ustaz ustazah atau guru-guru di sekolah sedangkan tanggungjawab mendidik anak-anak solat, berpuasa, mengaji Quran dan lain-lain perlu dimulakan dari rumah.
2) Penggunaan tandas. Anak-anak wajib diajar kaedah dan adab menggunakan tandas di rumah lagi. Saya lihat ramai murid tidak basuh tangan selepas ke tandas, ada yang tidak "flush" selepas masuk tandas, bahkan ada yang tidak menutup pintu semasa membuang air. Semua ini takkanlah kena diajar di sekolah?
3) Kebersihan dan kekemasan. Anak-anak wajib diajar untuk membuang sampah di kawasan yang sepatutnya seperti tong sampah. Selain itu, mereka wajib diajar supaya tidak menyelerakkan barangan dan kemaskan tempat apabila ingin keluar dari tempat tersebut. Ajarkan mereka supaya mengutip sampah sekiranya terdapat sampah berteraburan di tempat yang tidak sepatutnya.
4) Anak-anak wajib diajar untuk menghormati orang yang lebih tua terutama para guru di sekolah. Kejadian seorang bapa menyerang sebuah sekolah hanya kerana rambut anaknya digunting hanya menunjukkan kebebalan dan kelemahan bapa tersebut untuk menyemai sikap menghormati guru kepada anaknya.
5) Keyakinan diri dan self esteem. Anak-anak wajib diberikan kasih sayang ,didikan agama dan moral, penegasan , kata-kata semangat dan dorongan serta panduan dalam kehidupan sehari-hari.
Ada ibu bapa yang bukan sahaja memandang rendah kepada kemampuan anaknya, bahkan menghina anaknya sendiri. Itu semua tak bagus untuk pembentukan jati diri anak-anak. Hasilnya, anak anak jadi memberontak , keras hati, suka memencilkan diri, tiada keyakinan diri, tak mendengar kata bukan sahaja di rumah, bahkan di sekolah.
6) Mengenal huruf wajib didedahkan kepada anak-anak seawal 4 tahun. Jangan serahkan bulat-bulat tanggungjawab ini kepada guru. Latihan membaca di rumah bukan sahaja memudahkan tugasan guru-guru di sekolah, bahkan sebenarnya ia menjadikan anak-anak lebih cerdik kerana ia membuka jalan kepada mereka untuk meneroka buku-buku dan bahan bacaan.
7) Semangat cintakan agama ,bangsa dan negara wajar diterapkan di rumah. Contohnya, apabila nyanyian lagu Negaraku di mainkan di kawasan lapang atau di tempat program (selain dari sekolah), ibu bapa wajib menunjukkan contoh yang baik dengan bangun berdiri dan menyuruh anak-anak mereka untuk turut bangun dan diam.
Ini merupakan sebahagian daripada kewajiban yang perlu dilakukan oleh ibu bapa di rumah. Jangan sekadar mengharapkan 100% dilaksanakan di sekolah kerana cikgu dan ustaz ustazah pun banyak perkara perlu dilakukan selain daripada fokus kepada mendidik benda-benda yang asas .
#CikguZhaf