𝗕𝗨𝗟𝗘𝗧𝗜𝗡 𝗔𝗧𝗠 : 𝗦𝗜𝗕𝗘𝗥 𝗦𝗜𝗔𝗚𝗔 𝟮𝟬𝟮𝟱 𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗕𝗘𝗥 𝗠𝗘𝗥𝗘𝗡𝗧𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗘𝗠𝗣𝗔𝗗𝗔𝗡
Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari bersama Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan hadir memeriahkan Program Siber Siaga 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC).
Program kesedaran siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) edisi keempat ini yang dianjurkan bersama CyberDSA 2025, dirasmikan oleh YB Adly Zahari dengan ucapan pembukaan oleh Panglima Tentera Darat.
Bertemakan “Battle Beyond Borders”, Siber Siaga 2025 menekankan ancaman siber sebagai konflik penentu pada era digital, di mana ancaman merentasi sempadan geografi, politik dan organisasi. Penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperkukuh daya tahan digital masyarakat, agensi kerajaan dan organisasi bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.
Antara pengisian utama ialah forum antarabangsa “Battlefield Without Borders”, diikuti Mesyuarat ASEAN Cyber Defence Network (ACDN) Ke-4 serta Persidangan Military, Intelligence, Enforcement Agencies and Security Agencies Conference (MIESAC) Ke-2. Perbincangan memberi tumpuan kepada cabaran geopolitik, strategi ketenteraan era digital serta kepentingan kerjasama serantau dalam membina pertahanan siber yang berdaya tahan.
Selain forum, acara ini turut mempamerkan teknologi keselamatan siber, integrasi pertahanan dan produk inovasi baharu. Program ini juga menyaksikan penganjuran Kejohanan E-Sukan Gen ATM sebagai inisiatif mencungkil bakat belia dalam arena digital.
Pihak penganjur menegaskan bahawa pertahanan siber adalah tanggungjawab bersama, memerlukan pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS) bagi menghadapi ancaman hibrid serta memastikan keselamatan negara kekal terjamin.
Serentak dengan penganjuran Siber Siaga, Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2025 turut membuka tirainya di MITEC Kuala Lumpur menandakan edisi ketiga sebagai platform utama merangka solusi keutamaan negara dalam aspek keselamatan siber dan kepercayaan digital.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo. Bertemakan “Pioneering the Future: Building a Resilient and Trusted Digital Nation”, persidangan ini menghimpunkan lebih 8,000 peserta dari 45 negara serta 150 pempamer antarabangsa menjadikan Malaysia hab utama kerjasama keselamatan digital serantau dalam menghadapi ancaman siber global yang semakin kompleks.
Turut hadir menyempurnakan majlis, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Ts. Shamsuddin Hj Ludin; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Berita dan gambar: BRKSP.
#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan
#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama
#ATMSentiasaBersepadu
#DutyHonourSacrifice