Beza antara معرفة dan علم
________
Antara perbezaan yang disebut oleh para ulama di antara معرفة dan علم ialah :
Kalimah معرفة bermaksud mengetahui atau mengenali sesuatu tanpa mengetahui hakikat dan keadaannya secara menyeluruh, manakala علم ialah mengetahui sesuatu berserta hakikat dan keadaannya secara menyeluruh.
Dari sudut yang lain, kalimah معرفة berkaitan dengan تصور (tasawwur), iaitu mengenali sesuatu tanpa mengaitkannya dengan perkara lain. Sebab itu kita kata عرفتُ زيدًا (aku kenal Zaid). Yang dikenali di sini ialah Zaid itu sendiri. Kalimah علم pula berkaitan dengan تصديق (tasdiq), iaitu mengetahui perkaitan antara dua perkara, seperti علمتُ زيدًا قائمًا (aku tahu bahawa Zaid sedang berdiri). Dalam contoh ini, yang diketahui bukan sekadar Zaid, tetapi keadaan berdiri yang dikaitkan dengan Zaid. Inilah yang dimaksudkan apabila ulama mengatakan bahawa معرفة berkaitan dengan ذوات, manakala علم berkaitan dengan نِسَب. Maksud نِسَب di sini ialah perkaitan antara dua perkara, seperti perkaitan antara Zaid dengan keadaan berdiri.
Satu lagi perbezaan penting ialah معرفة membawa maksud mengetahui atau mengenali sesuatu yang sebelumnya tidak diketahui. Dengan kata lain, معرفة menunjukkan bahawa seseorang itu melalui fasa tidak tahu (جهل) terlebih dahulu sebelum mengetahui atau mengenali sesuatu. Berbeza dengan علم, yang tidak semestinya didahului oleh fasa tidak tahu.
Atas dasar inilah kita boleh kata عَلِمَ اللهُ, tetapi tidak boleh kata عَرَفَ اللهُ. Kalimah معرفة dengan pengertian tersebut mengandungi unsur keterbatasan yang tidak layak dinisbahkan kepada Allah swt. Para ulama menaskan bahawa معرفة dengan pengertian ini tidak boleh dinisbahkan kepada Allah swt.
Timbul satu persoalan : Kalau معرفة tidak boleh dinisbahkan kepada Allah swt., bagaimana pula apabila ulama menghuraikan علم dengan maksud معرفة, seperti al-Zamakhsyari dalam al-Kasyaf ketika menghuraikan ayat لَا تَعْلَمُونَهُم اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ?
Jawapannya, lafaz يعلم dalam ayat tersebut pada pandangan beliau tidak muta‘addi kepada dua maf‘ul. Oleh itu, علم dalam penggunaan ini menyerupai معرفة dari sudut perkara yang diketahui, iaitu mengetahui atau mengenali sesuatu tanpa mengaitkannya dengan sifat atau keadaan tertentu. Persamaan ini hanya dari sudut tersebut, bukan bermaksud علم mengambil semua ciri makna معرفة, termasuk didahului oleh fasa tidak tahu. Oleh itu, tidak timbul persoalan bahawa معرفة dengan pengertian tersebut dinisbahkan kepada Allah swt.
Timbul juga persoalan : Bagaimana pula dengan ungkapan معرفة الله yang banyak digunakan oleh para ulama? Bukankah di situ ada معرفة dan Allah?
Ungkapan معرفة الله bukan bermaksud Allah bersifat dengan معرفة, tetapi bermaksud makhluk mengenali Allah swt. Dari sudut struktur, ia merupakan إضافة المصدر إلى مفعوله, iaitu masdar معرفة disandarkan kepada maf‘ulnya. Maksudnya ialah معرفة العبدِ اللهَ, yakni pengetahuan atau kenalnya seorang hamba terhadap Allah swt.