TAHUN BARU, IDEA BARU?
Malam tahun baru 2026, terjaga dalam jam 2 pagi. Tak dapat nak tidur semula, bukalah telefon. Sempat singgah sekejap ke Thread dan tulis azam untuk tahun baru ni. Semalam sebenarnya dah tanya rakan-rakan Inkfinity, apa azam tahun baru?
Sebelum tidur jawapan lain. Tapi, di hening pagi tahun baru tu, jawapan dah jadi lain bila tulis di Thread. Ada satu matlamat baru yang boleh dicapai dalam tempoh masa 7 hari dan sebulan. Macam manifesto, kenalah ada struktur, kan? Ini janji pada diri sendiri!
BUAT BANK IDEA
Katanya nak simpan untuk rancangan 4 tahun ke hadapan. Minimum 10 idea/draft. Simpan dengan tersusun di dalam Google Drive. (Mungkin kena buat emel rasmi yang memang pakai untuk urusan penulisan ni.)
Tapi, dari mana nak cekau idea cerita banyak-banyak?
Tak tahulah orang lain macamana, tapi ada banyak cara untuk dapatkan idea cerita.
1. Tanya diri sendiri, paling nak baca cerita yang macamana? Menulis tu perjuangan panjang. Motivasi kenalah kuat, datang dari dalam diri.
2. Sebab tu kena rujuk balik apa-apa cerita yang jadi kegemaran. Bukan untuk meniru atau menciplak, tapi ambil inspirasi. Tambah tolak, gaul rata dan tambah perasa secukup citarasa. Jadilah tu.
3. Paling senang, gunakan prompt penulisan. Dalam Inkfinity ada, Wattpad ada, Pinterest, Google dan Reddit r/WritingPrompts berlambak. Tinggal pilih mana yang mencetuskan inspirasi.
4. Kerap bertanya 'What ifs'. Tanyalah soalan yang paling tak logik dan tak masuk akal. Bagaimana jika suatu hari nanti, matahari mulai malap? Bagaimana jika seseorang dapat melihat umur kematian seseorang? Ponder about it and write story around it.
5. Pilih lagu dan buat cerita berdasarkan liriknya. Jangan masukkan lirik bulat-bulat tau. Dulu pernah buat dengan lagu 'Taylor Swift - One Last Time'.
Kononnya, watak perempuan (bukan artisnya, tapi watak dalam cerita yang direka) tu puteri alien, menyanyikan lagu tu untuk seorang pemuda dari bumi yang diculik untuk menyelamatkan planetnya dari pergolakan. Akibatnya, pemuda itu cedera, jadi dia harus dikembalikan ke Bumi. Tapi, puteri alien antara rasa bersalah dan rela tak rela memulangkan pemuda itu ke tempat asalnya kerana sudah terlanjur jatuh sayang.
6. Buat berdasarkan tema atau mesej yang hendak disampaikan. Cerita yang berisi mestilah mengusung pesan dan nasihat, kan? Fikirkan pengajaran atau pengalaman hidup yang nak dikongsi. Barulah cipta watak dan plot berkisarkan tema tu. Rasanya agak songsang sebab terbiasa plot dan watak dulu, barulah pengajaran tercetus di akhir cerita.
Ada pelbagai cara ilham tu datang, tapi enam cara ini antara yang paling senang (bagi saya). Sebenarnya, menjana idea senang. Tapi, cabaran sebenar tu untuk memberikan rangka, tulang dan isi kepada idea tu sampai layak diperjuangkan, dilaburkan usaha serta upaya agar jadi manuskrip penuh.
Nanti saya kongsikan perkembangan Bank Idea cerita saya tu.
Wassalam.
Niemza
[Ananta Tinta]
1 Januari 2026